arena

Misi ubah persepsi Eropah

Oleh Firdaus Hashim

PENYERANG baharu KV Kortrijk dari Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin bakal tampil di bumi Eropah dengan misi serampang dua mata.

Kehadirannya di liga utama Belgium bukan hanya untuk merealisasikan impiannya beraksi di sana, malah pemain muda berbakat besar itu turut berazam mengubah pandangan Eropah mengenai kemampuan pemain dari Asia terutamanya Malaysia.

Jelas Luqman, bukan mudah buat pemain tempatan untuk memecah 'tembok kebal' Eropah disebabkan oleh pelbagai faktor khususnya perbezaan fizikal.

Katanya, dia akan beraksi sepenuh jiwa untuk membuktikan kemampuannya juga setanding pemain Eropah.

"Betul bukan mudah nak bagi peluang dekat saya. Di sana caranya lain, pemainnya lain, tengok kita pun lain. Mereka (kelab Eropah) tengok (pemain) daripada Asia ini nak ke Eropah mesti tengok dan pandang budak macam kita ini (sebelah mata).

"Ia agak mencabar dan agak susah sebenarnya, tapi saya sendiri kena atasi semuanya. Jadi saya akan pergi sana dan bermain dengan jiwa saya sendiri," katanya.

Khamis lalu, Luqman melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul pemain profesional pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

Pada majlis menandatangani kontrak yang disaksikan pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan di sini itu, Luqman ditawarkan kontrak selama lima musim dengan gaji dianggarkan RM15,000-RM25,000 sebulan.

Dia yang digelar 'The Golden Boy' ekoran tercalon dalam 80 bintang muda terbaik dunia dalam anugerah 'Golden Boy' dijadualkan berangkat ke Belgium Khamis ini dan akan menyertai latihan bersama pasukan utama.

"Saya nak buktikan pemain Asia ini bukan calang-calang. Saya nak buktikan kepada pemain Eropah yang pemain Asia ini penuh dengan pemain berbakat.

"Bukan saya seorang saja tetapi ramai lagi yang berbakat, tapi mungkin tak nampak dan saya beruntung kerana dapat dilihat. Terima kasih sangat kerana sebab nampak (bakat) saya.

"Sebenarnya bukan saya seorang saja bagus, pemain Malaysia di sini ramai lagi bagus, mana tahu lebih bagus daripada saya," kata pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Disiarkan pada: August 8, 2020 @ 2:18pm
d