arena

Khairul sedia gegar Sukan SEA Vietnam

Oleh Aida Adilah Mat

PEMEGANG rekod 100 meter (m) negara, Khairul Hafiz Jantan tidak pernah berputus asa untuk mengharumkan nama negara dan bertekad untuk terus mewakili negara ke temasya Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Jika tahun lalu kecederaan berpanjangan sejak memenangi pingat emas dalam acara 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dialami mengganggu segala perancangannya sehingga menyebabkan dia gagal mempertahankan emas yang dimenanginya di Sukan SEA, kali ini Khairul Hafiz tampak lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.

Apa tidaknya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang empat bulan lalu, atlet itu sudah mendapat rehat yang cukup dan bersedia untuk mengharungi episod baru dalam karier lariannya selepas ini.

Katanya, dia kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan keadaan fizikalnya juga berada di tahap terbaik.

"Alhamdulillah semua dalam keadaan baik-baik saja ketika ini. Kondisi badan juga baik. Berat badan juga tidak naik atau turun. Masih kekal dengan seperti sebelum ini.

"Saya sudah mula menjalani latihan di bawah pemantauan jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) seperti biasa di padang bersama dengan atlet lain, sama seperti sebelum ini," katanya.

Atlet kelahiran Merlimau itu mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s dicatatkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 yang juga rekod kebangsaan.

Catatan terbaik semusim Khairul Hafiz bagi 2018 adalah 10.28s di Kejohanan Kebangsaan Besigheim, Jerman sebelum kecederaan berulang kembali menghantui dirinya sehingga menyebabkan dia terpaksa berehat panjang.

Khairul kembali membakar trek apabila menyertai Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali pada Julai 2019 merekodkan catatan 10.70s selepas berehat panjang lebih dari tujuh bulan.

Dia kemudiannya menyertai Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019 di Stadium Majlis Sukan Negara (MSN) pada Ogos 2019 dengan, menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan catatan 10.71s tewas kepada rakan sepelatih Haiqal Hanafi, 10.59s.

Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk menyertai sebarang pertandingan dalam waktu terdekat ini, Khairul Hafiz berkata: "Saya sudah bersedia dengan apa juga cabaran dari segi rohani, mental dan fizikal," katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 1:07pm
d