arena

Zlatan hampir 'bunuh' Rojo

Oleh Agensi

BEKAS pemain kebangsaan Sweden dan Manchester United Zlatan Ibrahimovic memiliki susuk tubuh yang tegap dan tinggi sekali gus membuatkan pemain lain 'goyang' sama ada untuk bertengkar atau merebut bola daripada kakinya.

Namun, lain pula dengan bekas rakan sepasukannya Marcos Rojo apabila boleh dikatakan bertindak 'berani mati' dengan memanggil Ibrahimovic sebagai si hidung besar ketika perlawanan liga.

Menerusi temubual bersama pemain terbabit, Rojo mengakui ungkapan berkenaan menyebabkan dirinya hampir dibunuh Ibrahimovic yang tidak berpuas hati dipanggil dengan gelaran itu.

"Ibrahimovic ada di sana namun Paul Pogba bersendirian di sebelah kiri menyebabkan saya terus menghantar bola kepadanya sekali gus tindakan itu menyebabkan Ibrahimovic tidak berpuas hati dengan mengutuk saya.

"Saya melawannya dengan menjerit diam, hidung besar. Kamu mahukan semua bola," katanya.

Rojo berkata, 'persengketaan' terbabit tidak terhenti di situ apabila Ibrahimovic datang kepada kepadanya di bilik persalinan sebaik tamat separuh masa pertama.

"Dia berhenti di depan saya dan berteriak dengan mengatakan apa yang kamu katakan tadi.

"Saya tidak mahu kalah dengan turut bertanyakan soalan sama padanya namun pada masa sama berharap ada individu lain dapat meleraikan perbalahan itu.

"Sebenarnya saya terselamat disebabkan jurulatih ketika itu Jose Mourinho masuk ke bilik persalinan dan segalanya kembali normal sebelum perlawanan babak kedua bersambung," katanya.

Pemain yang berasal dari Argentina itu berkata, persengketaan itu tidak memadam rasa kagum terhadap Ibrahimovic yang menjadi tunjang dalam pasukan bola sepak yang disertainya.

"Banyak yang saya belajar daripada Ibrahimovic terutama untuk menjadi pemain yang hebat.

"Persengketaan itu selesai secara baik pada ketika itu dan kami boleh bergurau seperti biasa pada keesokan paginya," katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 9:58pm
d