arena

Kelab 'Bangsawan' Liga M

Oleh Manan Samad dan Syazwan Msar

MANTAP, sistematik dan tersusun apabila dua pasukan gergasi bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Pahang dan Selangor akan tampil lebih meyakinkan selepas ini menerusi penswastaan kelab menyaksikan pengurusan tertinggi turut dibarisi individu berdarah diraja.

Jika perkara terbabit berjalan lancar, dua pasukan terbabit akan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 'pemilikan' kelab turut dibarisi individu istana yang bertanggungjawab memimpin pada masa akan datang.

Ketika ini, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah pemilik tunggal kepada kelab bola sepak yang berpangkalan di selatan tanah air itu manakala pasukan berkenaan antara pasukan terawal yang memisahkan pengurusan kelab dan persatuan bola sepak negeri.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar pasukan gergasi merah kuning itu akan tampil dengan pengurusan berbeza apabila menubuhkan syarikat bagi menguruskan kelab terbabit.

Beliau berkata, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah antara pemegang saham syarikat berkenaan yang berperanan menguruskan pasukan Selangor pada musim depan.

Katanya, FAS juga turut tidak ketinggalan mempunyai pegangan dalam syarikat terbabit dan perkara itu akan dimuktamadkan pada masa terdekat ini.

"Segalanya ada kemungkinan dengan Raja Muda Selangor turut memegang saham selain anak syarikat swasta lain yang akan bekerjasama mentadbirkan dan menguruskan pasukan.

"Pada masa sama, FAS sendiri akan sebahagian daripada pemegang taruh dan kita juga berbincang untuk membukanya kepada peminat Selangor.

"Saya tidak boleh katakan perkara itu sudah dimuktamadkan kerana keputusan akhir belum lagi dibuat manakala perbincangan masih lagi berjalan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan September depan adalah tempoh terakhir buat semua pasukan Liga Malaysia menswastakan pasukan dan kegagalan bertindak demikian akan menyebabkan pasukan berkenaan tidak dibenarkan beraksi di saingan kelab-kelab anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sebagai rekod, penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

Mengikut nilai pasaran semasa di www.transfermarkt.com menyaksikan Selangor terkini bernilai RM19.5 juta manakala Pahang pula RM14.2 juta.

Sementara itu, Pahang pula dikhabarkan akan dipimpin oleh syarikat yang antara pemiliknya adalah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Difahamkan Tengku Abdul Rahman yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) turut berkemungkinan akan bekerjasama dengan beberapa individu atau syarikat lain untuk memimpin skuad Tok Gajah pada musim depan.

Disiarkan pada: August 9, 2020 @ 11:09pm
d