arena

10 positif Covid-19, perlawanan ditangguh saat akhir

Oleh AFP

SERAMAI 10 anggota pasukan bola sepak Brazil, Goias dimaklumkan bahawa mereka didapati positif Covid-19 sekali gus menyaksikan perlawanan terpaksa ditangguhkan di saat akhir.

Pasukan itu dijadualkan bertemu Sao Paulo FC tanpa kehadiran penyokong pada minggu pertama aksi bola sepak di Brazil.

Keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu adalah berdasarkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Sukan untuk bola sepak yang kemudiannya diterima oleh Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF).

Sebelum keputusan mahkamah diumumkan iaitu beberapa minit sebelum bermulanya perlawanan, kedua-dua pasukan berada dalam situasi tidak pasti.

Ketika itu barisan pemain Sao Paulo FC sudah pun memanaskan badan di atas padang.

"10 daripada 23 pemain didapati positif. Malangnya kami hanya menerima keputusan hari ini," kata Presiden Goias, Marcelo Almeida kepada stesen televisyen Globo.

Menurut media Brazil, lapan daripada 10 pemain itu adalah pemain kesebelasan utama.

Sao Paulo FC berkata, mereka bersetuju untuk menangguhkan perlawanan itu dengan menyatakan di Twitter: "Tiada yang lebih penting berbanding kekal sihat."

Musim baru bermula Sabtu lalu tiga bulan lewat berbanding jadual asal berikutan pandemik Covid-19.

Di bawah peraturan baharu yang dikeluarkan oleh CBF, kesemua pemain diminta menjalani ujian 72 jam sebelum bermulanya setiap perlawanan.

Brazil pada Sabtu lalu mencatatkan lebih 100,000 kematian dan tiga juta kes dijangkiti wabak itu.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 9:51am
d