arena

'Tayar saya macam belon' - Hamilton

Oleh AFP

LEWIS Hamilton membandingkan tayar Pirelli jenteranya seperti belon selepas dia serta rakan sepasukan di Mercedes, Valtteri Bottas mengalami masalah serius di Grand Prix (GP) Ulang Tahun ke-70 semalam.

Selepas seminggu meraih kemenangan dramatik apabila tayar depannya pancit ketika menghampiri garisan penamat di GP British, Hamilton mengakui berasa takut salah satu daripada tayarnya mungkin akan meletup lagi.

Tiga kereta mengalami kegagalan tayar di Siverstone minggu lalu namun Pirelli tetap dengan keputusan untuk menggunakan tayar lebih lembut pada tekanan yang lebih tinggi.

Dua pemandu Mercedes itu menamatkan saingan di kedudukan kedua dan ketiga yang menyaksikan pemandu Red Bull, Max Verstappen meraih kemenangan pertama musim ini dan kesembilan sepanjang kariernya.

Hamilton berkata, Mercedes bergelut dengan tayar dan mereka tidak mempunyai jawapan yang pantas untuk mengatasi masalah itu.

"Ia adalah hari yang sangat mencabar. Tapi tahniah kepada Red Bull dan Max kerana mereka menjalankan tugas dengan cemerlang.

"Mereka tidak berdepan sebarang masalah seperti kami," katanya.

Hamilton berkata, dia berasa lega kerana dapat menamatkan perlumbaan tanpa mengalami masalah tayar pancit selain mempunyai kepantasan untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua.

"Pasukan akan bekerja keras untuk mengenalpasti masalah tayar. Pirelli mempunyai masalah pada tayar mereka dan kemudian tekanan tayar semakin lama semakin tinggi seperti belon.

"Saya tidak pasti adakah pelumba lain bergelut seperti kami, jadi kami akan melihat semula masalah itu," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 1:17pm
d