arena

Import Pahang terkandas di Lubnan

Oleh Asrol Awang

KESAN letupan ammonium nitrate di Beirut, Lubnan 4 Ogos lalu, ternyata memberi impak buat Pahang ketika pemain import skuad itu, Khalil Khamis masih berada di negara berkenaan. 

Tragedi terbabit menyebabkan skuad Tok Gajah terlepas untuk menyenaraikan pemain Lubnan itu apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 26 Ogos ini. 

Mengulas status terkini Khalil, pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kejadian letupan di Beirut itu menyebabkan pemain pertahanan itu tidak dapat bersama pasukan. 

"Ia ditambah dengan penularan wabak Covid-19 di negara itu yang masih berlaku menyebabkan berlaku kesukaran dalam urusan Khalil kembali ke negara ini. 

"Pada masa sama, kerajaan Lubnan masih tidak membenarkan rakyat negara itu ke luar negara di sebabkan wabak pandemik Covid-19. 

"Jika Khalil tiba di negara ini, dia sudah pasti akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan sah tidak akan beraksi pada 26 Ogos ini.  Setakat ini, tiada pengesahan sama ada Khalil akan kembali bersama  Pahang dalam tempoh terdekat ini," katanya. 

Sebelum ini, status pemain import Pahang itu menjadi tanda tanya berikutan masih belum bersama skuad Tok Gajah. 

Ketika ini, pemain berasal dari Lubnan itu masih berada di negaranya dan tiada sebarang pengesahan Khalil akan kembali ke Pahang terutama selepas kejadian letupan ammonium nitrate di Beirut, 4 Ogos lalu. 

Musim ini, Pahang menyenaraikan lima import termasuk Khalil dalam memperkasakan skuad Tok Gajah itu.  Empat import yang lain ialah Dickson Nwakaeme, Herold Goulon, Ivan Carlos dan Adam Reed.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 5:43pm
d