arena

Penghijrahan Muhaimin berbaloi

Oleh Syazwan Msar

SENTIASA bersabar dan tidak berputus asa menjadi azimat kejayaan karier penjaga gol Felda United FC, Muhaimin Mohamad yang kini semakin menunjukkan prestasi konsisten di saingan Liga Malaysia sejak tiga musim lalu.

Sekadar menjadi penjaga gol ketiga di Kedah di awal pembabitan, Muhaimin mengambil langkah berani untuk berhijrah bagi mendapatkan peluang bermain dan nyata keputusan diambil mula menghasilkan pulangan lumayan.

Menjadi penjaga gol utama Kuala Lumpur pada 2015 sebelum berhijrah ke PKNS dan MOF FC pada dua musim berikutnya, nama Muhaimin mula mekar meniti dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas mempamer kecemerlangan dengan MIFA yang dijenamakan ke PJ City pada musim lalu.

Prestasinya pada dua musim lalu menarik perhatian Felda United FC di bawah kendalian Nidzam Jamil musim ini dan penjaga gol berusia 28 tahun itu bersyukur kerana terus mendapat peluang bermain di pentas Liga Super.

''Istilah putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidup saya walaupun gagal mendapat tempat di Kedah yang ketika itu sudah ada beberapa penjaga gol berpengalaman.

''Mungkin bukan rezeki saya di Kedah pada waktu itu biarpun tiga musim menanti tetapi saya yakin dengan kemampuan diri yang membuatkan saya tekad untuk keluar.

''Kini saya bersyukur rezeki masih cerah dalam bola sepak kerana bersama Felda musim ini untuk musim kedua Liga Super, saya tekad mahu terus konsisten dalam tiap perlawanan dilalui,'' katanya.

Selain itu, menariknya mengenai Muhaimin ialah dia anak kepada bekas pemain Kedah pada era 80-an dan awal 90-an iaitu Mohamad Ramlee.

Felda kini menduduki tangga kelima saingan Liga Super selepas meraih lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Dalam masa sama, Muhaimin mendedahkan dia memasang impian mengintai tempat bersama pasukan kebangsaan namun akui perlu lebih bekerja keras jika mahu bersaing dengan penjaga gol sedia ada.

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 6:47pm
d