arena

Gimnas Britain dilayan seperti 'kain buruk'

Oleh AFP

PEMENANG pingat gangsa Olimpik, Nile Wilson mendakwa gimnas Britain dilayan seperti kain buruk kerana budaya buli wujud dalam sukan berkenaan.

Wilson adalah antara gimnas lelaki berprofil tinggi yang terbabit dalam kes buli dan kekerasan melanda Persatuan Amatur Gimnastik Britain (Gimnastik Britain).

Atlet berusia 24 tahun ini mencipta sejarah menjadi atlet Britain pertama memenangi pingat Olimpik dalam acara palang mendatar di Rio 2016.

Bagaimanapun, pengalaman Wilson dalam sukan berkenaan bukannya semua indah dan dia mengaku pada awalnya takut untuk bersuara kerana gusar bakal menjejaskan pemilihannya di masa akan datang.

"Saya mahu menggambarkan bahawa ia adalah satu budaya penderaan dan saya sudah bergelumang dengan benda ini selama 20 tahun.

"Ia mengganggu emosi, didorong oleh kesakitan fizikal yang saya lalui sendiri. Gimnas masih lagi dilayan seperti kain buruk.

"Saya mahu mengakui saya didera. Bagaimanapun, kami mahu memenangi pingat Olimpik, badan induk mahu meraih pingat Olimpik, barisan jurulatih juga mahukan pingat Olimpik," katanya.

Awal tahun ini, Wilson membuat aduan mengenai pertengkaran dengan staf senior badan induk di acara sosial di Kelab Gimnastik Leeds.

Aduan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan barisan kejurulatihan atau latihan, dan selepas siasatan dalaman kelab, kes berkenaan ditolak selepas dinilai oleh Gimnastik Britain.

"Saya diberitahu dan merasakan saya adalah punca masalah ini. Sudah ada bukti tapi disembunyikan. Saya merasakan aduan saya tidak didengari dan saya pula yang bersalah. Badan induk dan Leeds, mereka tidak menghiraukannya," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 12:45pm
d