arena

Kelab penyokong julang semangat TFC

Oleh Malik Muhamad

WALAUPUN peminat tidak dibenarkan memasuki stadium apabila Liga Malaysia (Liga M) bersambung mulai 26 Ogos ini, kelab penyokong bola sepak di Terengganu mempunyai idea tersendiri bagi 'menghidupkan' aura perlawanan.

Idea itu hasil gabungan beberapa kelab dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam misi menyokong pasukan Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II), bagi memastikan pemain bersemangat ketika beraksi.

Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, idea yang mendapat restu daripada pihak persatuan itu bagi memastikan impian dua pasukan bersaudara mengintai kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana serta Piala Malaysia tercapai.

"Sebagaimana kita tahu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak membenarkan peminat memasuki stadium untuk menyokong pasukan masing-masing kerana negara masih lagi berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.

"Jadi kami kelab penyokong bolasepak negeri akan memberikan sokongan kepada pemain ketika mereka beraksi dengan beberapa kaedah termasuk membina sepanduk atau poster besar peminat seolah-olah kami berada di dalam stadium menyokong pasukan.

"Selain itu kami juga bakal memasang sepanduk dengan kata-kata semangat buat pemain serta akan menggunakan pembesar suara seolah-olah kami sedang bersorak dalam pelbagai situasi.

"Kami juga bercadang mengadakan jualan amal tiket perlawanan sebagai tanda sokongan kepada persatuan walaupun peminat tidak dibenarkan memasuki stadium.

"Cadangan seterusnya bagi mengubati kerinduan peminat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka bermain apatah lagi selepas lama berehat, kelab penyokong akan berusaha menyediakan tempat menonton secara langsung di kedai makan yang mempunyai skrin besar," kata Mohd Isa.

Semalam kelab penyokong bolasepak negeri bersama persatuan mengadakan perjumpaan bagi membincangkan idea bagaimana untuk menyokong pasukan ketika beraksi di laman sendiri biarpun mereka tidak dibenarkan memasuki stadium dan hasilnya adalah positif.

Disiarkan pada: August 11, 2020 @ 11:32pm
d