arena

Morbidelli sasar podium di GP Austria

Oleh BERNAMA

BARU sahaja merangkul tempat kedua pada perlumbaan MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Republik Czech, pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli teruja untuk meneruskan permulaan sempurna di GP Austria, hujung minggu ini.

Pelumba Itali berusia 25 tahun itu akhirnya menamatkan kemarau podium sejak 2018 di Litar Brno, hujung minggu lalu dan tetap optimis peluang menaiki podium sekali lagi di Litar Red Bull Ring di Sielberg yang dianggap antara litar paling sukar dalam kalendar Kejuaraan Dunia MotoGP.

''Atas kertas ia tidak kelihatan seperti satu daripada litar terkuat kami, tetapi itu hanya atas kertas! Kita akan lihat keadaannya nanti dan bagaimana kami hadapi sesi latihan pertama pada Jumaat,'' katanya seperti dipetik dalam kenyataan dikeluarkan pasukan itu hari ini.

''Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk kembali ke litar,'' tambah nya.

Rakan sepasukan, Fabio Quartararo, sebaliknya mahu melupakan kekecewaan di Litar Brno dan berharap dapat bangkit kembali untuk penamat podium ketiganya musim ini.

Pelumba Perancis berusia 21 tahun itu menduduki tempat ketujuh di GP Republik Czech apabila bergelut dengan masalah tayar selepas tinggal tujuh lagi pusingan.

GP Austria akan bermula dengan sesi latihan bebas pada Jumaat, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu sebelum perlumbaan sebenar pada Ahad.

Quartararo kekal berada di kedudukan teratas Kejuaraan Dunia MotoGP dengan 59 mata manakala Morbidelli di tempat ketiga daripada 22 pelumba dengan 31 mata selepas tiga perlumbaan.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 3:08pm
d