arena

Chong King sukar gugat Zii Jia

Oleh Aida Adilah Mat

PEMAIN badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk melakarkan kemenangan menewaskan naib juara Divisyen 2, Lim Chong King dalam aksi pertama peringkat kumpulan di Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia, hari ini.

Zii Jia melakarkan kemenangan mudah 21-14, 21-9 ketika pemain perseorangan lelaki negara yang lain seperti Liew Daren dan Soong Jon Ven tewas kepada lawan masing-masing.

Bagi Zii Jia biarpun menang mudah namun ia belum cukup berpuas hati kerana masih belum menemui sentuhan sebenarnya.

Pemain kelahiran Alor Star Kedah bagaimanapun tetap mengharapkan kemenangan pada baki enam perlawanan sebelum aksi akhir yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

"Pemain senior memang ada sedikit tekanan sebab masing-masing sudah ada nama tapi junior mereka memang nak kalahkan kami. Mereka akan bagi yang terbaik untuk tewaskan pemain senior.

"Apapun saya tetap mahu menang semua perlawanan. Jadi tak mahu fikir banyak memang kalau boleh nak menang semua tapi setiap hari perasaan itu berbeza ikut keadaan juga.

"Macam perlawanan hari ini juga ada beza sedikit. Ini pertandingan pertama dalam keadaan tanpa penonton dan kali pertama bermain seperti ini.

"Saya rasa ada memberi kesan sedikit dari semua segi termasuk skil dan sebagainya," katanya yang kali terakhir turun beraksi di pertandingan kompetitif Mac lalu di Kejohanan Seluruh England namun tewas kepada Victor Axelsen 21-17, 13-21, 19-21 di separuh akhir.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 8:06pm
d