arena

Pemain Barca positif Covid-19

Oleh AFP

SEORANG pemain Barcelona didapati positif Covid-19 namun dia disahkan tidak mempunyai kontak rapat dengan skuad yang berkunjung ke Lisbon bagi saingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Bayern Munich menurut kenyataan kelab itu hari ini.

"Susulan ujian PCR yang dijalankan pada petang Selasa membabitkan sekumpulan sembilan pemain berikutan persediaan bagi memulakan pra musim, salah seorang daripadanya didapati positif Covid-19," menurut kenyataan dikeluarkan Barcelona.

"Pemain berkenaan tidak mempunyai sebarang kontak rapat dengan mana-mana pemain dari pasukan utama yang dijadualkan melakukan perjalanan ke Lisbon, esok bagi saingan Liga Juara-Juara."

Menurut kelab itu lagi, pemain yang tidak dinamakan itu tidak mempunyai sebarang simptom, berada dalam kesihatan yang baik dan menjalani kuarantin di rumahnya."

Barca yang tewas dalam persaingan kejuaraan liga Sepanyol daripada Real Madrid, akan berdepan Bayern dalam saingan lapan terakhir yang dilangsungkan tertutup di ibu kota Portugal awal pagi Sabtu ini.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 8:59pm
d