arena

Nasihat Kaironnisam suntik semangat Mario

Oleh Firdaus Hashim

MENYEDARI persaingan sengit yang dihadapinya di bahagian tengah, tonggak skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Muhammad Firdaus Kaironnisam sentiasa menjadikan kata-kata azimat bapanya sebagai motivasi.

Firdaus, 17, atau lebih mesra dipanggil Mario adalah anak kepada Kaironnisam yang juga bekas ketua pasukan Harimau Malaya yang pernah mewakili negara dari 2001-2014.

"Dia cakap bila masuk padang ini tak boleh bagi 50-50, kena buat betul-betul sebab ini cita-cita kita.

"Tak boleh main-main dengan kerja kita, jadi dia kata bila masuk padang memang kena bagi 100 peratus kena fokus kerja kita. Jangan main-main kena sungguh-sungguh," katanya yang berkongsi nasihat bapanya itu.

Jelasnya lagi, dia langsung tidak tidak tertekan ketika beraksi walaupun mungkin ada sesetengah pihak yang cuba membandingkan dia dengan bapanya.

"Saya tak rasa tertekan sebab ayah saya main pertahanan dan saya main tengah. Tapi kalau saya main pertahanan mungkin lagi ramai bandingkan saya dengan ayah, tapi ini berlainan posisi jadi tak tertekan," katanya yang juga antara tonggak utama skuad kendalian Brad Maloney.

Ketika ini, skuad B-19 sedang melakukan persiapan fasa 2 menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan pada Oktober ini.

Di pusingan akhir itu nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman dengan sasaran mara ke separuh akhir.

Mengulas mengenai persaingan dalam pasukan, Firdaus menegaskan perlu bekerja keras bagi merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain memandangkan kesemua pemain yang dipanggil ketika ini mempamerkan keupayaan terbaik.

"Sudah banyak peningkatan dipamerkan kesemua pemain apabila kem latihan memasuki fasa kedua dan semua pemain sudah memahami peranan masing-masing.

"Bagi saya, kami perlu terus mempertingkatkan ketekalan latihan selain mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan sebab kami perlu tingkatkan kecergasan ke tahap terbaik," kata pemain Johor Darul Ta'zim itu.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 10:58pm
d