arena

Coco jinakkan Aryna untuk ke suku akhir

Oleh AFP

PEMAIN remaja Amerika Syarikat, Coco Gauff mencatatkan satu lagi kemenangan meyakinkan, selepas menyingkirkan pilihan kedua, Aryna Sabalenka 7-6 (7/4), 4-6, 6-4 untuk mara ke suku akhir kejohanan WTA di Lexington, Kentucky.

Coco, beraksi di kejohanan pertamanya sejak Covid-19 mengganggu kalendar musim ini, bakal berdepan pilihan kelapan dari Tunisia, Ons Jabeur tatkala pemain dari benua Afrika itu mengalahkan Olga Govortsova 3-6, 6-2, 6-4.

"Saya sangat gembira dengan apa yang saya berjaya lalui hari ini," kata Coco yang berjaya mengharungi aksi selama dua jam 24 minit.

Selepas mendahului 5-2 pada set pertama pemain berusia 16 tahun itu memerlukan aksi sehingga ke 'tie-break' untuk memperoleh kemenangan.

Sabalenka, yang merangkul kejuaraan Terbuka Doha sebelum Jelajah WTA ditangguhkan kerana pandemik Covid-19, mendahului 5-2 pada set kedua dan berjaya merentap cabaran Coco untuk mengheret aksi ke permainan penentuan.

Set ketiga menyaksikan beberapa aksi mematahkan servis lawan, dengan Sabalenka dua kali berjaya mematahkan servis Coco.

Bagaimanapun, Coco berjaya mematahkan servis Sabalenka untuk mendahului 5-4 dan menamatkan perlawanan dengan pukulan forehand kemenangan.

"Ia adalah disebabkan ketenangan dan berjaya menyerap asakan lawan. Pada set kedua, saya banyak melakukan kesilapan, jadi di permainan penentuan saya cuba ubah perkara berkenaan," kata Coco.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 11:13am
d