arena

Lyles tawa dalam tangisan

Oleh AFP

JUARA dunia pecut, Noah Lyles mendedahkan dia mengalami masalah psikologi sejak berusia lapan tahun, ia menjadi bertambah buruk apabila pandemik Covid-19 berlaku, penangguhan Sukan Olimpik dan pergerakan Black Lives Matter.

Pelari Amerika Syarikat, yang meraih emas dalam acara 200 meter dan lari berganti-ganti 4x100 di Doha tahun lalu seterusnya dijangka akan berjaya di Olimpik, Tokyo, mengumumkan awal bulan ini bahawa dia terpaksa mengambil ubat penenang.

"Saya terpaksa menghadapi perkara ini sejak berusia lapan tahun, ia berbeza mengikut peredaran masa dan umur saya.

"Ia menjadi semakin teruk bermula April lalu, sangat sukar untuk saya mengawalnya. Seakan taufan buat saya untuk berdepan Covid-19, pembatalan Olimpik, ia membuatkan anda tertanya-tanya adakah semua perkara ini cuba menarik perhatian saya," katanya.

Bintang olahraga itu sebelum ini sentiasa menunjukkan keceriaan di depan kamera selepas berjaya memberikan aksi cemerlang namun mengakui dia pernah berdepan situasi buruk.

"Ia seperti membuatkan anda akan berkata, saya tidak mampu lagi melalui semua ini. Ibu saya pula menasihatkan saya supaya mengambil ubat dan saya mengakuinya kerana semua yang saya lakukan sebelum ini seakan tidak memberikan kesan," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 1:41pm
d