arena

Misi wajib menang V Shem-Wee Kiong

Oleh Aida Adilah Mat

BEREGU berpengalaman negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong perlu meneruskan rentak kemenangan sekiranya ingin mara ke saingan separuh akhir Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia.

Dengan dua kemenangan satu tewas, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas lawan Goh Sze Fer-Nur Izzudin Rumsani pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok.

"Esok perlawanan penting. Kami kena menang.

"Tapi hari ini, corak permainan kami semakin baik. Kesilapan mudah juga sudah kurang, harapnya esok akan bertambah baik dari hari ini," kata Wee Kiong.

Pada saingan hari kedua perlawanan ketiga peringkat kumpulan, V Shem-Wee Kiong melakarkan kemenangan menundukkan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-18, 16-21, 21-17.

Namun ia bukan satu yang mudah buat beregu negara itu apabila sekali lagi dipaksa bermain diset penentuan.

"Corak permainan pemain junior semakin baik apabila mereka ada sedikit memberi kami tekanan.

"Tapi semalam mungkin juga kami penat sebab ada dua perlawanan tapi sebagai atlet memang kena tahan saja cabaran," katanya.

Pada perlawanan sebelum ini, V Shem-Wee Kiong tewas kepada Chang Yee Jun-Chia Wei Jie 21-16, 12-21,21-23 dan menang mudah mengatasi Chen Tang Jie-Nurfirdaus Azman 21-18, 21 -19.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 7:17pm
d