arena

Bekas import dakwa FAP mungkir janji

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Pulau Pinang (FAP) didakwa mungkir janji dalam menjelaskan pembayaran tuntutan tiket penerbangan dan hotel dengan jumlah keseluruhan RM19,148.

Tunggakan itu membabitkan bayaran kepada dua bekas pemain importnya musim lalu dengan masing-masing menuntut RM12,300 membabitkan tiket penerbangan RM10,000 dan hotel RM2,300.

FAP turut berhutang tiket penerbangan dengan seorang lagi awang import sebanyak RM6,848.

Menjelaskan perkara itu, pemain yang enggan namanya didedah mengakui kecewa dengan sikap lepas tangan pengurusan FAP yang sebelum ini berjanji akan membayarnya kepada pemain.

Namun, selepas menunggu berbulan-bulan tanpa khabar berita disamping cubaan untuk mengelak berbincang dengannya, mereka berdua jelas berang dan mahu skuad Harimau Kumbang segera membayar tunggakan itu.

"Saya ada cuba menghubungi mereka (FAP) tetapi mereka tak jawab panggilan dan tidak memberi respon kepada saya.

"Walaupun jumlah itu tidak begitu besar, mereka perlu bertanggungjawab dan membayar tunggakan itu kerana ia milik saya dan pemain lain.

"Kata nak bayar bulan Februari tapi sekarang dah bulan Ogos. Mana janji mereka, jangan aniaya kami kerana kami sudah berikan sepenuh komitmen ketika dengan pasukan tahun lalu," katanya kepada Arena Metro.

Menerusi surat tuntutan pembayaran yang dikongsinya dengan akhbar ini, dia menjelaskan sepatutnya menerima pembayaran keseluruhan RM46,300 termasuk bayaran elaun rumah, bayaran awal untuk Mei dan bayaran kontrak bulan November.

Begitupun, tuntutan penerbangan serta hotel tidak dibayar oleh bekas majikannya itu.

"FAP bayar guna cek yang berasingan. Bayaran lain semua dah dapat tetapi duit hotel dan tiket belum lagi. Saya mahu mereka bayar, jangan cuba nak diam saja," katanya.

Sementara itu, ketika Arena Metro mendapatkan maklum balas Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah, beliau mahu dua tonggak import itu tampil menunjukkan bukti pembayaran tiket penerbangan dan hotel.

Katanya, sekiranya sekadar menunjukkan surat tuntutan tanpa bukti pembayaran, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya membayar kepada mereka.

"Kalau depa (dua pemain import) ada bukti (resit pembayaran) terbang ke luar negara, buktikan dengan tiket bukannya kata terbang, terbang, terbang, tapi depa tak keluar negara pun hanya nak buat duit saja.

"Kita kalau ada apa-apa tuntutan, mereka boleh tunjuk hitam putih kepada saya dan saya akan luluskan. Selain daripada itu saya tak mahu.

"Kerana saya pun kena jawab kepada negeri (kerajaan negeri) macam mana bayaran dan untuk apa kita bayar. Mereka boleh cakap keluar tapi depa duduk dalam Malaysia saja, jangan nak tunjuk pandailah nak tuntut tapi ada dalam negara," kata Amar.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 7:49pm
d