arena

Sekali-sekala jaring gol apa salahnya - Adams

Oleh AFP

PEMAIN tengah Amerika Syarikat, Tyler Adams yang muncul wira selepas meledak gol kemenangan RB Leipzig untuk mengatasi Atletico Madrid dalam perlawanan suku akhir berkata dia bukanlah jenis pemain yang sering menjaringkan gol.

Leipzig, yang ditubuhkan pada 2009, mara ke separuh akhir buat kali pertama mencatat kemenangan 2-1 ke atas bekas naib juara dua kali, Atletico.

Mereka akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan akhir.

Pemain tengah itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88, iaitu gol pertamanya bersama Leipzig, selepas Joao Felix memadamkan gol pembukaan Dani Olmo.

"Saya bukan jenis pemain yang menjaringkan gol tapi saya gembira dapat membantu pasukan," kata Adams, yang masuk sebagai pemain gantian.

Gol Adam berpunca daripada rembatan deras yang terkena Stefa Savic sebelum bola masuk ke dalam gawang.

"Menjelang perlawanan ini, saya diberitahu tidak akan diletakkan dalam kesebelasan utama namun saya harus bersedia untuk dimasukkan dan memberi impak, jadi saya perlu letakkan dalam fikiran saya untuk masuk dan membantu tidak kisah dengan apa cara sekali pun.

"Kami semua sangat teruja, kami tahu Paris Saint-Germain adalah pasukan yang bagus dan kita dapat lihat apa yang mereka lakukan kepada Atalanta, dengan pemain yang mereka miliki di atas padang, jadi kami perlu mengimbangi kekuatan mereka.

"Sekarang adalah masa untuk merehatkan diri, bersiap sedia dari segi mental dan perancangan perlawanan namun kami yakin dengan kemampuan yang ada seperti mana anda lihat hari ini dan kami akan membuktikannya," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 8:25am
d