arena

Lapan 'birdie' lonjak Varner

Oleh AFP

HAROLD Varner membenam lapan birdie untuk mencatat lapan di bawah par 62 untuk berkongsi kedudukan teratas di pusingan pertama Kejohanan Wyndham di Greensboro, North Corolina.

Varner berjaya menyamai rekod pukulan paling terendah dalam kariernya di Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) dan berkongsi kedudukan pendahulu bersama rakan senegara, Tom Hoge dan wakil Kanada, Roger Sloan.

Ketiga-tiga mereka mencatat kelebihan dua pukulan berbanding pencabar terdekat, Harris English, tatkala permainan diganggu dengan keadaan cuaca buruk.

Varner memburu kejuaraan keempatnya dengan mempamerkan aksi cemerlang selepas melakukan empat birdie berturut-turut dari lubang kelapan hingga ke-11.

Birdie di lubang ke-13 dan 15 membuka ruang untuk mencatat 59 pukulan (jika melakukan tiga lagi birdie tambahan) namun Varner mengakui bahawa dia tidak terfikir mengenai perkara itu.

"Saya tidak terfikir langsung mengenai perkara itu. Saya hanya cuba untuk melakukan birdie di setiap lubang," kata Varner.

Sebenarnya Varner hanya beraksi di lokasi dengan hanya beberapa jam perjalanan di kampung halamannya di Gastonia, North Carolina.

Dia tidak mendapat kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri minggu ini apabila Jelajah PGA masih lagi dilangsungkan tanpa kehadiran penonton berikutan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 1:10pm
d