arena

'Kami pun tak nak kalah'

Oleh Firdaus Hashim

PEMAIN tengah Pahang, Faisal Abdul Halim berharap penyokong akan tetap memberikan sokongan padu kepada pasukan meskipun mereka tewas dalam dua perlawanan persahabatan setakat ini sambil menjanjikan aksi yang lebih memberangsangkan dalam saingan sebenar yang bakal bermula 26 Ogos ini.

Pemain muda berusia 22 tahun ini mengakui keputusan yang diperoleh dalam dua perlawanan menentang Terengganu FC II dan terbaru, Selangor II agak teruk dan tidak menggambarkan prestasi sebenar mereka.

Namun, Faisal berharap penyokong tidak putus asa untuk terus memberikan sokongan dengan dua perlawanan itu pastinya menjadi pengajaran berguna kepada pasukan untuk sentiasa menilai dan memperbaiki segala kelemahan kerana yang lebih penting adalah perlawanan pada 26 Ogos ini menentang juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya sebagai pemain mengakui keputusan memang agak teruk setakat ini, tetapi bukannya bermakna kita nak kalah setiap perlawanan itu.

"Ini kerana kami dalam proses mencari rentak permainan yang sebaiknya untuk kami hadapi perlawanan sukar menentang JDT nanti.

"Tidak guna kalau kita menang aksi persahabatan, tetapi aksi sebenar 26 Ogos ini, kita main macam budak-budak, jadi saya harap sangat penyokong juga memahami apa yang kami sedang lakukan ketika ini sebab siapa yang nak kalah kan.

"Kami sebagai pemain pun apabila kalah, memang sedih, kadang-kadang tiada semangat, tetapi apa-apa pun kami kena bangkit juga untuk terus perbaiki kelemahan sebaik mungkin selepas ini," jelasnya.

Pahang terlebih dahuulu tewas 0-3 kepada Terengganu FC II dan terbaru, kekalahan 2-3 kepada Selangor II dalam aksi persahabatan yang berlangsung pada Rabu lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 6:41pm
d