arena

'Samba' Shakhtar mampu rentap ego Inter

Oleh AFP

SHAKHTAR Donetsk adalah satu-satunya pasukan yang sangat sesuai beraksi dalam persekitaran separuh akhir Liga Europa tanpa penonton selepas juara Ukraine itu sudah enam tahun tidak beraksi di gelanggang sendiri.

Disebabkan peperangan di timur Ukraine membabitkan tentera kerajaan dan pasukan pemisah Russia, menyaksikan Shakhtar terpaksa berpindah tempat bagi aksi di gelanggang sendiri.

Kali pertama di Lviv, 1,200 kilometer dari tempat asal mereka dan dalam tempoh tiga tahun bertukar ke Kharkiv, hanya 300 kilometer dari Donbass Arena di Donetsk.

Shakhtar menjadi pasukan kedua dari Ukraine untuk menjulang trofi peringkat Eropah selepas muncul juara Piala UEFA pada 2009 dan berjaya mengetepikan musuh tradisi Dynamo Kiev dengan meraih 10 kejuaraan liga dalam tempoh 13 tahun kebelakangan ini.

Musim depan mereka akan beraksi buat kali ke-14 di Liga Juara-Juara peringkat kumpulan, manakala bagi ranking kelab terbaik UEFA selepas 10 tahun, Shakhtar menduduki tangga ke-16 mengatasi Tottenham, Ajaz dan lawan di separuh akhir awal pagi Selasa, Inter Milan.

Selain menjadi tapak buat pemain Brazil mencipta nama seperti Fernandinho, Willian, Douglas Costa dan Fred, skuad sekarang tidak kurang hebatnya dengan memiliki 12 lagi pemain berasal dari negara Amerika Selatan itu.

Mereka juga diperkuatkan dengan dua pemain kelahiran Brazil yang memilih untuk menjadi tonggak naturalisasi Ukraine iaitu Junior Moraes dan Marlos.

"Sejak mula awal musim, kami tidak pernah mencatat kekalahan di luar Ukraine baik di Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa.

"Jika anda bekerja keras seperti pemain saya, jika anda mempunyai keberanian seperti mereka, anda tidak akan takut untuk beraksi di mana-mana stadium sekali pun," kata jurulatih mereka dari Portugal," Luis Castro

Salah seorang pemain dari Brazil, Taison yang sudah bersama kelab sejak 2013 mengakui sangat penting buat mereka untuk meninggalkan legasi sebagai juara Liga Europa terutama ketika melalui hari-hari terakhir bersama pasukan.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 12:56pm
d