arena

Lang Merah kini lebih fokus

Oleh Izzali Ismail

KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak yakin pemainnya kini lebih fokus dengan baik berbanding bulan lalu selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memberi jaminan isu tunggakan gaji yang dibelenggu skuad Lang Merah sebelum ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum tamat musim 2020.

"Selepas isu tunggakan gaji diperjelaskan oleh Presiden KFA dengan jaminan untuk penyelesaian sepenuhnya sebelum tamat musim ini, kini semua pemain boleh memberi fokus sepenuhnya untuk persediaan sambungan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada 26 Ogos ini.

"Itu yang saya harapkan kerana, selagi isu berkaitan tunggak gaji ini tidak diperjelaskan, minda pemain akan terganggu dan sekali gus memberi kesan mental dalam persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan Liga M nanti.

"Semua pemain tidak perlu lagi terlalu memikirkan hal berkaitan tunggakan gaji itu yang mengganggu emosi dan kini pemain hanya beri tumpuan pada bola sepak sahaja dan biarlah pihak pengurusan KFA mencari 'jalan' terbaik untuk selesaikan hal berkaitan gaji ini dan kita doakan dapat diselesaikan dengan lebih cepat." katanya.

Aidil berkata, KFA melalui kepimpinan baharu ini bertindak cepat dengan memberi penerangan serta kaedah pembayaran berkaitan isu gaji ini agar keadaan dan suasana dalam kalangan pemain tidak terus 'terganggu' seperti sebelum ini.

"Menjelang 10 hari lagi untuk perlawanan sebenar Liga M akan bersambung, skuad Kedah kini bekerja keras bagi memastikan setiap perancangan dan pelan perlawanan berada pada tahap yang terbaik.

"Saya kini menuntut pemain agar terus memberi fokus dan tumpuan bagi persiapan pasukan sepenuhnya melalui latihan yang sedang diadakan termasuk menjalani satu lagi perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang pada 19 Ogos ini di Stadium Darul Aman.

"Dalam pada itu, kita juga perlu berhati-hati bagi mengelak sebarang kecederaan yang mana ia penting mengikut perancangan yang akan dilakukan nanti." katanya.

Pada 11 Ogos lalu, skuad Lang Merah diraikan Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor melalui satu jamuan makan malam dan beramah mesra dengan pemain, jurulatih dan staf Lang Merah bagi menjelaskan kedudukan berkaitan gaji tertunggak.

KFA juga mengumumkan pembayaran gaji bagi bulan Julai yang sudah dilakukan termasuk memberi jaminan gaji bulan seterusnya akan berjalan lancar manakala untuk isu gaji tertunggak bermula Mac hingga Jun pula kini sedang dalam proses dan rundingan akan dapat diselesaikan sebelum berakhirnya Liga M musim ini.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 3:33pm
d