arena

Pahang tenang di sebalik dua kekalahan

Oleh Asrol Awang

PEMAIN tengah Pahang, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra menjelaskan bahawa skuad itu kekal tenang biarpun tewas pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

Pada dua perlawanan itu, skuad kendalian Dollah Salleh itu tewas 0-3 dan 2-3, masing-masing kepada Terengganu FC II (TFC II) dan Selangor II.

Muhammad Gopi Rizqi berkata, perlawanan persahabatan itu lebih kepada membentuk kembali persefahaman semua pemain serta menilai tahap kecergasan.

"Lebih empat bulan tidak bermain bersama dan sudah pasti kami dalam usaha untuk kembali mencari rentak persefahaman.

"Saya percaya sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung nanti, segalanya berada pada prestasi terbaik.

"Apa yang penting dua kekalahan itu tidak menjejaskan fokus kami kerana dalam usaha mendapatkan kembali rentak seperti yang dipersembahkan sebelum saingan Liga M ditangguhkan Mac lalu," katanya.

Ditanya kecederaan pangkal paha kanan yang dialami baru-baru ini, Gopi Rizqi sudah kembali menjalani latihan ringan.

Katanya, kecederaan yang dialami tidak serius dan tiada masalah untuk bermain pada 26 Ogos ini.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 6:36pm
d