arena

Skuad Jang pamer peningkatan

Oleh Mohd Amin Jalil

"WALAUPUN sekadar seri 2-2, tapi ia menunjukkan sudah ada peningkatan prestasi dipamerkan pasukan selepas kita tewas 0-3 kepada Selangor," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidon.

Negeri Sembilan berjaya mengikat Felda United FC, 2-2, dalam aksi persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Menurut Sazali, dalam aksi itu, pemain skuad Hobin Jang Hobin dilihat lebih fokus dan berkeyakinan tinggi apabila berjaya mengimbangi kekuatan Felda United yang

beraksi di Liga Super.

"Walaupun pada tempoh separuh masa pertama Negeri Sembilan sudah ketinggalan kepada lawan, tetapi pemain berjaya mempamerkan kebangkitan menerusi sikap positif dan keyakinan yang lebih baik untuk mengimbang kekuatan Felda.

"Saya puas hati dengan komitmen yang mereka tunjukkan dalam perlawanan ini apabila setiap bahagian dalam pasukan itu dilihat berfungsi dengan baik, malah bahagian tengah menunjukkan kombinasi lebih mantap berbanding sebelum ini.

"Hasil daripada itu, dua pemain import kita, Igor Luiz dan Jose Almir Neto, masing-masing berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua," katanya.

Mengulas lanjut, Sazali berkata, pihaknya yakin dan percaya hasil keputusan perlawanan yang memberangsangkan itu, akan dapat memberi petanda yang positif kepada pasukan itu untuk berdepan Terengganu FC II (TFCII) dalam aksi pertama bersambungnya saingan Liga Perdana musim ini, 26 Ogos ini.

Bekas pengendali skuad Piala Presiden Negeri Sembilan itu, berharap prestasi lebih baik dapat dipamerkan anak buahnya pada perlawanan persaabatan terakhir menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu ini.

"Ia aksi persahahatan terakhir sebelum kita bersaing dalam cabaran sebenarnya. Saya juga akan jadikan aksi menentang PDRM itu sebagai petunjuk dalam memilih barisan kesebelasan utama, sebelum kita bertemu TFC II di gelanggang sendiri, pada 26 Ogos nanti.

"Saya amat berharap pemain dapat tunjukkan kombinasi lebih mantap pada perlawanan itu dan seterusnya memastikan satu keputusan positif dicapai. Ia penting kerana sedikit sebanyak akan membantu kita ketika turun menentang TFC II," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 9:08pm
d