arena

Bukan ukuran sebenar pasukan

Oleh Malik Muhamad

PERTAHANAN tengah Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan tidak melihat kekalahan 0-2 kepada Selangor pada aksi persahabatan di Stadium UiTM Shah Alam semalam adalah gambaran sebenar pasukannya.

Sebaliknya pemain berasal dari Negeri Sembilan itu menyatakan aksi persahabatan yang dilalui pasukannya itu adalah medan ujian dan bakal menambahkan lagi keyakinannya serta rakan sepasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia.

Katanya pasukannya kini sudah berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk bertarung dengan PJ City pada aksi pertama 22 Ogos ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas berehat lebih lima bulan berikutan wabak pandemik Covid-19.

Pemain yang lebih mesra dipanggil Anas itu yang mula menyarung jersi TFC sejak 2017 lagi ketika beraksi dalam saingan Liga Perdana akui keserasian dan persefahaman antara pemain tempatan dan import juga semakin baik.

"Kekalahan kepada Selangor bukan ukuran sebenar pasukan, sebaliknya ia menjadi medan terbaik buat kami untuk mengembalikan semula momentum dalam perlawanan sebenar selain jurulatih dapat menilai prestasi semasa sebelum bertemu PJ City Sabtu ini.

"Namun apa yang pasti corak permainan pasukan kami sudah ada peningkatan selepas lebih sebulan turun berlatih bagi mengharungi saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Bagaimanapun kami perlu berhati-hati dan tidak boleh pandang rendah keupayaan skuad PJ City terutama jentera serangan mereka yang boleh mengancam pintu gol jika tidak dikawal ketat," kata Nasrullah.

Selain Selangor, skuad kendalian Nafuzi Zain itu sudah melalui empat aksi persahabatan termasuk ketika terikat 0-0 dengan Selangor II dan Terengganu FC II, menumpaskan Kelantan (2-0) dan Kelantan United 1-0.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 9:47pm
d