arena

Choong Hann puji pemain muda

Oleh Aida Adilah Mat

SESI penilaian akan dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung prestasi pemain selepas tamatnya Kejohanan Jemputan BAM semalam.

Biarpun ia dilihat berjaya mencapai matlamat, namun beberapa aspek perlu dititik beratkan apabila ramai pemain khasnya pemain perseorangan lelaki menarik diri kerana mengalami kecederaan sekali gus menyebabkan mereka menarik diri.

Antara yang terkesan pastinya perseorangan utama negara Lee Zii Jia, Liew Daren dan Soong Joo Ven selain beregu campuran Goh Soon Huat yang cedera menyebabkan pasangannya Shevon Lai turut terpaksa menarik diri.

Namun bagi Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, beliau gembira melihat peningkatan yang ditunjukkan khasnya pemain muda yang menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menewaskan pemain yang jauh lebih senior.

Justeru antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat penilaian itu nanti adakah kejohanan yang sama akan dianjurkan sekali lagi dengan meneliti semua jadual perlawanan atau mengadakan perlawanan simulasi sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas dan Uber nanti.

"Dapat dilihat pemain gembira dapat kembali beraksi dalam pertandingan ini. Semua menunjukkan semangat juang. Memang dalam pertandingan ada menang dan kalah tapi apa yang gembiranya pemain menghargai pertandingan ini.

"Pemain muda pula harus berusaha ambil kesempatan ini untuk tunjukkan kekuatan masing-masing. Kita dapat lihat pada satu tahap senior bermain dengan bagus tapi junior pun bangkit untuk cuba menang ke atas senior.

"Tapi mungkin mereka belum cukup sepenuhnya mendapat rentak tapi sekurang-kurangnya kejohanan ini memberi peluang kepada jurulatih untuk menilai mana-mana kekurangan untuk menambahbaikkan apa yang kurang," katanya.

Dalam pada itu, Choong Hann turut memuji prestasi pemain muda yang bijak mengambil kesempatan mempamerkan aksi cemerlang dengan mengatasi pemain lebih berpengalaman pada kejohanan berkenaan menyaksikan Ng Tze Yong muncul juara perseorangan lelaki selepas mengalahkan Leong Jun Hao 21-13, 21-8.

Bagi saingan perseorangan wanita pula, Soniia Cheah menundukkan Eoon Qi Xuan, 21-16, 25-23 dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mudah menewaskan Pearly Tan-M Thinaah, 21-14, 21-17 dalam acara beregu wanita.

Sementara itu, Choong Hann berkata, ketika negara lain masih bergelut dengan pandemik Covid-19, sekurang-kurangnya pemain negara kini mempunyai sedikit kelebihan apabila sudah memulakan latihan dan pertandingan sebagai persediaan ke kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober di Aarhus, Denmark.

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 8:11pm
d