arena

Nafi Sobey, Fadzli berhijrah

Oleh Malik Muhamad

PENGURUS pasukan sepak takraw Terengganu Turtles, Abu Bakar Yassin menafikan tekong dan perejam berpengalaman, Muhammad Zulkifli Abd Razak dan Mohd Fadzli Roslan bakal menyarung jersi pasukan lain dalam kancah Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) musim ini.

Sebaliknya beliau berkata, dua bekas pemain terbilang kebangsaan itu akan kekal beraksi dengan Terengganu Turtles pada saingan liga berprestij dalam negara itu.

Katanya, pemain berkenaan sudah bersetuju dan berjanji dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah untuk menyarung jersi pasukan negeri kelahiran.

"Jadi desas-desus yang mengaitkan dua pemain itu bakal mewakili pasukan lain adalah tidak benar kerana buat masa ini tiada perubahan lagi, lagipun pemain itu sudah berjanji dengan exco.

"Insya-Allah Zulkifli yang lebih mesra dipanggil Sobey dan Fadzli akan bermain dengan Terengganu bagi memperkuatkan lagi pasukan dalam saingan STL," katanya.

Terengganu yang bakal beraksi dalam saingan Divisyen Satu musim ini akan bertarung dalam kejohanan itu yang akan bermula pada 8 hingga 13 September ini di Stadium Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Abu Bakar menjelaskan pemain skuad itu kini sudah bersedia beraksi selepas lebih sebulan lalu berlatih bawah bimbingan Mohd Futra Abd Ghani di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

"Sasaran kita adalah untuk layak beraksi pada pentas final musim ini sekali gus kembali dalam saingan Liga Premier musim depan," katanya.

Sementara itu Mohd Futra akui kehadiran dua pemain berpengalaman itu bakal memantapkan lagi pasukannya yang rata-rata diwakili pemain muda berpotensi.

"Kita gembira dengan kehadiran dua pemain itu yang sudah pasti bakal memperkuatkan pasukan dalam misi kita untuk kembali mewarnai pentas Liga Premier musim depan," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 8:57pm
d