arena

Rossi berang, 'ajar' pelumba muda

Oleh AFP

PELUMBA veteran dan legenda Itali, Valentino Rossi berkata barisan pelumba perlu memperbaiki tingkah laku dan mempamerkan sikap lebih menghormati pesaing selepas dia serta rakan sepasukan di Yamaha, Maverick Vinales terlepas daripada ditimpa kecederaan serius pada Grand Prix (GP) Austria.

Juara dunia sembilan kali itu terkejut selepas jentera Yamaha Franco Morbidelli terbang melambung di atas litar dan hanya beberapa sentimeter menghentam dirinya.

Sebelum itu, Morbidelli dan pelumba Ducati, Johann Zarco berlanggar pada pusingan kelapan. Jentera Zarco juga terbang melintasi litar dan hampir menghentam Rossi dan Vinales.

"Berlumba secara agresif adalah bagus kerana setiap pelumba mahu mempamerkan prestasi maksimum masing-masing.

"Tetapi janganlah terlalu agresif kerana kita perlu ingat sukan ini sangat berbahaya. Anda perlu menghormati pesaing anda terutama di litar yang mampu memecut pada kelajuan 300 km sejam," katanya.

Rossi mempersoalkan tindakan Zarco yang membrek dalam situasi berbahaya yang menjadi punca kepada kemalangan itu.

"Kami semua amat bernasib baik pada kali ini tetapi saya berharap insiden ini akan dijadikan pengajaran kepada semua pelumba untuk memperbaiki tingkah laku mereka," katanya merujuk kepada tindakan Zarco.

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 10:21pm
d