arena

'Tak halang cuma cara tak berapa manis'

Oleh Aida Adilah Mat

BERJAYA melahirkan jaguh raja pecut Asia Tenggara bukan satu tapi dua meninggalkan kenangan manis buat jurulatih Mohd Poad Md Kassim.

Halangan untuk Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi memegang gelaran itu juga itu bukan mudah, banyak cabaran yang perlu dilepasi dan Poad berjaya membuktikan jurulatih tempatan juga mampu melakukan tugas itu dengan penuh dedikasi.

Biarpun begitu Poad tidak akan menghalang atau memaksa kedua-dua pelari pecut utama negara, The Speedy Jantan dan Haiqal untuk terus kekal berada di bawah bimbingannya.

Itu tegas Poad ketika diminta mengulas berhubung keinginan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berhasrat meletakkan semua pelari pecut Bukit Jalil di bawah program atlet pecut negara.

Bagi Poad beliau tiada masalah melepaskan kedua-dua anak didiknya itu andai berlatih bersama pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Millers itu adalah yang terbaik untuk perkembangan karier jaguh pecut Asia Tenggara itu.

Malah sebagai jurulatih beliau juga pernah menyuarakan untuk membentuk kuartet 4x100 meter terbaik dengan kesemua atlet perlu diletakkan di bawah satu bumbung.

Namun apa yang mengguris hatinya apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan tanpa ada perbincangan bersama dengan beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media.

"Saya sebagai jurulatih terima saja segala perancangan pihak atasan. Tapi patutnya perkara ini dibincangkan dan meminta pandangan saya terlebih dahulu sebelum kenyataan dikeluarkan di media. Nampak perkara ini tak beberapa manis.

"Saya harap pihak tertentu perlu jagalah perkara macam ini sebab kita manusia dan ada perasaan," katanya.

Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata tiada istilah kecil hati atau sebagainya biarpun tidak lagi bergelar jurulatih kepada Khairul Hafiz dan Haiqal malah tugas hakikinya,sebagai seorang guru dan jurulatih tetap akan diteruskan seperti biasa.

"Tiada apa yang saya nak sesalkan sebab saya sudah lahirkan pemegang rekod kebangsaan dan meraih dua emas di Sukan Sea berturut-turut dari dua orang yang berbeza.

"Saya ada pengalaman lahirkan atlet dari bawah hingga mereka berjaya. Saya doakan kedua-dua mereka berjaya dan saya juga akan doakan atlet di sana (KL) dapat menyesuaikan diri dengan latihan yang baru dan berjaya,'' katanya

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 9:34am
d