arena

'Bayern boleh jadi mangsa ghairah sendiri'

Oleh AFP

CORENTIN Tolisso menegaskan Bayern Munich yang ghairah memburu gelaran 'treble' perlu berwaspada dengan ancaman bekas kelabnya, Lyon pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, Khamis ini.

"Dari pandangan Jerman, mungkin Lyon kurang dikenali tetapi ketika menentang Manchester City, kita semua dapat menilai kemampuan sebenar mereka,'' kata pemain tengah Perancis, Tolisso yang menyertai Bayern dari Lyon pada 2017.

"Kami tak boleh memandang rendah mereka. Dalam perlawanan besar, Lyon bertukar karakter, mereka sukar dijangka. Tiada pasukan mara separuh akhir bergantung kepada nasib,'' kata pemenang Piala Dunia 2018 itu.

Dua jaringan babak kedua daripada pemain gantian, Moussa Dembele membantu Lyon menyingkirkan skuad Pep Guardiola dan Bayern pasti enggan menerima nasib sama.

Selepas membelasah Barcelona 8-2 di suku akhir, kem Bayern semakin yakin menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Pertahanan, Jerome Boateng membandingkan skuad sekarang dengan skuad 2013 yang meraih treble pertama, Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara untuk mencipta sejarah kelab.

"Secara jujurnya, saya sedar sejak hari pertama, saya dapat merasakan kejayaan,'' kata Boateng. "Ia misi besar kami musim ini. Kami beraksi dengan baik di Liga Juara-Juara sejak dari awal dan juga di Bundesliga. Kami juga sangat tamak sepanjang masa.''

Bagaimanapun, Lyon turut memiliki 'senjata' untuk mengulangi kejutan sensasi. Bintang muda, Houssem Aouar adalah lambang kejayaan pasukan Ligue 1 itu menggilap bakat pemain akademi mereka.

Dia sekali lagi menjadi sandaran Lyon seperti dilakukan ketika menentang City. Dua jaringan Dembele adalah hasil bantuan Aouar.

Perancang berusia 22 tahun itu menghantar bola kepada Dembele untuk meletakkan Lyon mendahului 2-1 pada minit ke-79 di Estadio Jose Alvalade. Kemudian rembatan kencang Aouar ditampan Ederson yang pantas dimanfaatkan Dembele untuk mengesahkan kemenangan.

Menurut statistik Opta, hanya Kylian Mbappe dan Riyad Mahrez menghasilkan bantuan jaringan lebih daripada Aouar sejak bermula Liga Juara-Juara musim lalu.

Tidak mengejutkan prestasi cemerlangnya itu menarik perhatian City dan dilaporkan Barcelona turut memantau penuh minat keupayaan Aouar.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 11:10am
d