arena

Terbuka AS terus hilang seri

Oleh Agensi

JUARA Wimbledon, Simona Halep mengesahkan tidak menyertai Terbuka Amerika Syarikat dengan alasan kesihatan menjadi keutamaan dan memilih tinggal di Eropah susulan penularan pandemik koronavirus.

Simona, bekas pemain ranking tertinggi yang kini menduduki tangga kedua dunia menang kejohanan di Prague, kelmarin.

"Selepas mengambil kira pelbagai faktor, saya membuat keputusan tidak pergi ke New York dan beraksi di sana,'' kata Simona dalam Twitter.

"Saya selalu berkata, faktor kesihatan paling utama dan saya akan kekal di Eropah dan berlatih di sana."

Enam daripada lapan pemain utama dalam ranking WTA tidak beraksi di New York. Pemain nombor satu, Ash Barty dan juara bertahan, Bianca Andreescu turut menarik diri.

Pemain lain tidak beraksi termasuk pemain nombor 5, Elina Svitolina, no 7, Kiki Bertens dan no 8, Belinda Bencic.

Terbuka AS dijadual berlangsung 31 Ogos di Flushing Meadows.

Simona memuji usaha Persatuan Tenis AS dan WTA dalam memastikan kejohanan yang selamat dan berharap penganjuran berjalan lancar.

Irina Khromacheva dari Russia akan menggantikan tempat Simona dalam undian utama, menurut USTA.

Pemain Taiwan, Su-Wei Hsieh dan pemain Australia, Priscilla Hon turut menarik diri.

Sementara itu, juara bertahan kategori lelaki, Rafael Nadal turut enggan menyertai kejohanan tetapi pilihan utama, Novak Djokovic mengesahkan penyertaan.

Roger Federer pula tidak beraksi sepanjang musim selepas menjadi dua pembedahan di lutut kanan.

Stan Wawrinka, juara Terbuka AS 2016 turut menarik diri bersama Gael Monfils dan Nick Kyrgios.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 12:26pm
    d