arena

Marquez lupakan GP Styrian

Oleh Agensi

REPSOL Honda mengesahkan juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez terpaksa melupakan Grand Prix (GP) Styrian hujung minggu ini sekali gus tidak beraksi buat kali ketiga berturut-turut.

Pelumba Sepanyol itu masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan lengan dialami ketika menyertai GP Sepanyol dan menjalani pembedahan kedua membetulkan plat titanium.

Walaupun Marquez sudah dijangka tidak menyertai aksi perlumbaan di Brno dan GP Austria kelmarin, masih ada harapan untuknya menyertai GP Styrian, sekali lagi di Red Bull Ring.

Bagaimanapun, Honda secara rasmi mengesahkan Marquez sebaliknya mahu memanfaatkan masa untuk sesi pemulihan dengan lebih cepat memandangkan ada tempoh tiga minggu antara Styrian dengan GP San Marino pada 13 September.

Dalam masa sama, Honda akan terus fokus kepada cabaran pelumba lain, Alex Marquez dan pelumba gantian, Stefan Bradl.

Kedua-duanya bergelut di Austria dengan Marquez menduduki tangga ke-13 dan Bradl (17).

''Tambahan mata kelmarin memang bagus tetapi perlumbaan itu tidak seperti kami harapkan,'' kata Alex Marquez yang pada awalnya dalam kelompok sepuluh teratas tetapi gagal mengekalkan kedudukan.

''Pada perlumbaan pertama, saya berasa yakin dan membuat permulaan sempurna, berada dalam posisi yang bagus tetapi kemudiannya bendera merah berkibar.

''Selepas perlumbaan kedua dimulakan semula, keyakinan itu tidak sama dan saya bergelut dengan tayar baharu. Saya berharap dapat bangkit minggu ini.''

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 1:32pm
d