arena

Zarco jalani pembedahan selepas insiden ngeri

Oleh Agensi

JOHANN Zarco akan menjalani pembedahan esok selepas mengalami patah pergelangan tangan.

Kesan patah tulang scaphoid di pergelangan tangan kanannya ditemui semasa pemeriksaan susulan semalam.

Pelumba Perancis itu yang melakar sejarah untuk Avintia Ducati apabila meraih petak pertama pada pusingan sebelum ini di Brno, kini akan ke Itali untuk menjalani pembedahan esok.

Namun Zarco berharap dapat kembali ke Red Bull Ring pada Khamis ini apabila dia mendedahkan akan terdapat mesyuarat mengenai insiden yang berlaku Ahad lalu dan kemudian akan membuat keputusan sama ada dia cergas sepenuhnya untuk berlumba di Red Bull Ring minggu ini.

"Pada Isnin saya melakukan pemeriksaan di pergelangan tangan kanan kerana masih berasa sakit. Saya mengalami sedikit patah tulang di bahagian scaphoid," kata Zarco.

"Saya akan ke Itali untuk menjalani pemeriksaan pada Rabu (esok) bersama doktor yang mempunyai hubungan rapat dengan Ducati dan sudah melakukan pembedahan ke atas pelumba lain.

"Kemudian saya akan kembali ke Austria pada Khamis untuk menghadiri mesyuarat mengenai insiden Ahad lalu," katanya.

Zarco terbabit dengan kemalangan bersama pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli Ahad lalu sebelum jentera kedua-dua pelumba itu nyaris menghentam dua pelumba Yamaha, Maverick Vinales dan Valentino Rossi.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 9:19pm
d