arena

Wenger nafi ditawarkan tugas pengendali Belanda

Oleh Agensi

ARSENE Wenger menafikan laporan yang mendakwa dia ditawarkan tugas sebagai jurulatih skuad Belanda.

Bekas pengurus Arsenal dikatakan ditawarkan khidmat untuk mengambil alih skuad Belanda menurut Fox Sports ketika Ronald Koeman akan meninggalkan skuad itu untuk menjadi jurulatih Barcelona.

Wenger, 70, tidak melatih pasukan sejak meninggalkan Arsenal pada 2018 dan ketika ini dia bertindak sebagai ketua pembangunan bola sepak dunia Fifa.

Warga Perancis itu menafikan dakwaan berkenaan dan memberitahu De Telegraaf : "Ia satu pembohongan. Saya tidak ditawarkan jawatan itu oleh sesiapa.

"Hanya saya saya yang akan bercakap mengenai masa depan saya."

Wenger meninggalkan Arsenal selepas 22 musim bersama kelab itu termasuk memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan tujuh Piala FA.

Koeman akan mengambil alih tugas di Barcelona selepas pemecatan Quique Setien susulan tiada trofi dimenangi kelab itu pada musim 2019-20, termasuk tersingkir saingan Liga Juara-Juara.

Dia dijangka membimbing Belanda pada Kejohanan Euro tapi kejohanan itu ditunda sehingga 2021 kerana pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 10:23am
d