arena

'Bukan kemampuan sebenar Kedah'

Oleh Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Shahak tidak menganggap kekalahan 2-3 ketika menentang Pulau Pinang kelmarin sebagai kemampuan sebenar pasukan dalam menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Sebaliknya beliau cuma cuba mempelbagaikan posisi baharu bagi mempersiapkan skuad untuk lebih bersedia dalam perlawanan yang akan dihadapi bermula dengan pertemuan pertama menentang PDRM FA pada 29 Ogos.

"Saya baru menyiapkan laporan perlawanan semalam (kelmarin) dan di sebalik kekalahan 2-3, saya dapati banyak perkara positif mengenai pasukan yang sedang dinilai.

"Seperti pasukan pamerkan semalam, kita telah mencuba kekuatan di beberapa posisi temasuk meletakkan beberapa pemain di posisi baharu," katanya.

Aidil turut berkata, usaha pasukan tidak hanya terbatas untuk meningkatkan prestasi semata-mata tetapi juga menilai kemampuan pemain di posisi lain dalam usaha mencuba perbagai taktikal dan keserasian bagi memantapkan pasukan.

"Secara positifnya, posisi baharu yang dicuba mula menampakkan kesan positif yang kita harapkan berbanding keadaan sebelum ini.

"Faizat Ghazli sebagai contohnya telah menunjukkan peningkatan yang baik sejak menyertai Kedah dan dua gol dijaringkannya adalah dalam perlawanan pertamanya manakala di bahagian pertahanan pula, pemain muda Irfan Zakaria juga berada pada tahap terbaik.

"Ifwat pula yang sebelum ini berada dalam bangku simpanan telah menunjukkan keyakinannya kembali sementara pemain import Amin Nazari juga mempamerkan keyakinan melalui persefahaman yang baik bersama Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam di ruang tengah," katanya.

Aidil bagaimanapun mengharapkan Kedah dapat mengelak dari melakukan kesilapan mudah seperti dua gol yang dibolosi Pulau Pinang pada babak kedua perlawanan tersebut.

Disiarkan pada: August 20, 2020 @ 6:18pm
d