arena

Jaguh tinju bersara

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Petinju profesional negara, Muhammad Meeraj Omar mengumumkan persaraan selepas beberapa bulan menimbang keputusan berkenaan berikutan tiada pertandingan sejak dunia dilanda wabak Covid-19.

Dia yang terkenal dengan nama gelaran 'Miracle Mirage Khan' menganggap berita berkenaan sangat menyedihkan selepas 15 tahun terbabit dalam tinju.

"Saya berkorban untuk sukan saya sayang. Sedih meninggalkan sukan ini. Ia adalah satu fasa baharu yang bakal saya tempuhi selepas ini. Saya akan terbabit dalam bidang kejurulatihan kerana tinju adalah darah daging saya," katanya ketika ditemui media semalam.

Bagaimanapun, Meeraj yang pernah beraksi di Sukan Komanwel Glasgow 2014 berkata, dia mungkin akan keluar daripada persaraan jika dapat beradu tenaga dengan seorang lagi sensasi tinju negara, Muhammad Farkhan Haron yang juga juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) .

"Dia seorang petinju yang sangat berbakat. Saya pernah tengok dia bertarung, bukan hanya pertarungan semata-mata ia adalah perniagaan.

"Cara dia menyusun dan bertarung adalah sangat baik. Saya fikir saya dan dia adalah orang pertama dalam mengenengahkan tinju profesional.

"Mungkin saya dan Farkhan boleh bertarung. Itu adalah impian saya, tapi sekiranya dapat melakukan kemunculan semula ia adalah disebabkan oleh Farkhan," katanya yang berusia 30 tahun.

Meeraj adalah juara dua kali Majlis Tinju Dunia (WBC) dan Kejohanan Penaklukan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MIMMA FC) selain turut meraih gelaran Organisasi Tinju Universal (UBO) Antara Benua dan Asia Pasifik.

Buat masa sekarang, dia akan mengalihkan fokus untuk menceburi bidang kejurulatihan sekali gus mencungkil bakat baharu bagi mewakili Malaysia.

"Saya dan pengurus saya (Morteza Eslami) akan terus bekerja keras bagi mencari bakat baharu. Saya akan mempromosikan dan membangunkan satu sistem bagi melahirkan ramai bakat baharu," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 6:00am
d