arena

Ujian getir menanti Maloney

Oleh Firdaus Hashim

DUA kekalahan besar sepanjang dua aksi persahabatan sememangnya menimbulkan kebimbangan dikalangan peminat bola sepak tanahair tentang keupayaan sebenar skuad bawah19 (B-19) tahun negara menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan dari 14-31 Oktober ini.

Berdepan skuad Liga Super Petaling Jaya City (PJ City) yang diperkuatkan ramai pemain import serta tonggak berpengalaman nyata sukar digugat oleh skuad muda negara apabila dibelasah 6-1 sebelum turut tewas 4-0 kepada Selangor II yang beraksi dalam Liga Perdana.

Walaupun kekalahan besar itu sedikit mencemaskan, namun pengendali pasukan B-19, Brad Maloney mempunyai alasan tersendiri dan menganggap dua keputusan berkenaan sesuatu yang positif.

Beliau yang masih bereksperimen dengan memberi peluang buat kesemua pemain menunjukkan kemampuan mengakui kekalahan itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang mampu mematangkan anak buahnya.

"Aksi yang sungguh mencabar dan menuntut pemain saya bekerja lebih keras tetapi memang inilah yang diperlukan pemain. Perlawanan sebegini boleh memberi pengajaran kepada mereka.

"Kita menentang pasukan yang baik dan dengan sedikit kesilapan sahaja, kami dihukum. Ini sebahagian daripada proses pembelajaran untuk anak buah saya," katanya.

Jelasnya lagi, beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua lagi aksi persahabatan sebelum menamatkan latihan fasa kedua hujung bulan ini sebelum memulakan fasa ketiga bulan depan.

Dalam fasa terakhir itu nanti, beberapa pemain utama akan dipanggil seperti penyerang muda negara yang beraksi di Belgium bersama kelab KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin dan tonggak utama Selangor II antaranya Firdaus Irman Mohd Fadhil, Sikh Izhan Nazrel, Harith Haiqal Adam Afkar dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

"Secara keseluruhan, terdapat banyak perkara positif daripada negatif. Ada corak permainan yang baik. Sudah tentu, kita perlu perbaiki lagi beberapa aspek," kata Maloney yang juga bekas pemain kebangsaan Australia.

Ujian getir bakal diharungi skuad negara apabila diletakkan dalam Kumpulan D bersama bekas juara 2014, Qatar selain dua pasukan sedang meningkat naik Tajikistan dan Yaman.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 2:28pm
d