arena

UKM FC buru kemenangan kedua

Oleh Mohd Amin Jalil

PASUKAN Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC sudah sedia untuk memulakan aksi sambungan Liga Perdana musim ini, bertemu Kelantan di Stadium Selayang, petang esok.

Ketua jurulatih pasukan itu, Sulaiman Hussin berkata, walaupun persiapan pasukan sedikit terganggu dengan masalah kecederaan beberapa pemain utama, namun skuad bimbingannya akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mendapatkan kemenangan.

Katanya, pihaknya akui tugas yang bakal dihadapi pemain UKM adalah berat kerana Kelantan sebuah pasukan berpengalaman dan sudah tentu pasukan lawan itu juga akan menggunakan kelebihan mereka untuk menafikan sebarang usaha pemain UKM mendapatkan gol.

"Saya akui perlawanan menentang Kelantan, esok, bukanlah mudah kerana mereka lebih berpengalaman dan tambahan pula setiap perlawanan kali ini boleh disifatkan sebagai final kerana tiada aksi timbal balik seperti mana biasa.

"Pasukan Kelantan sudah pasti akan berusaha keras bagi mendapatkan mata.

"Bagaimanapun, pemain UKM sudah bersedia untuk memburu kemenangan kedua musim ini dan mereka diminta berwaspada sepanjang tempoh 90 minit permainan kerana jentera serangan Kelantan berkeupayaan menafikan sasaran kita untuk mendapatkan tiga mata," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sulaiman berkata, anak buahnya perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan kemenangan kerana mereka tidak akan berpeluang untuk menebus sebarang kesilapan.

"Setiap perlawanan ibarat final dan pemain sudah diingatkan supaya memberikan komitmen lebih 100 peratus dalam memastikan impian mendapatkan mata maksimum, tercapai.

"Mereka harus ingat, cabaran memburu slot ke saingan Piala Malaysia musim ini bermula esok dan pemain perlu memberikan persembahan terbaik bagi menafikan impian Kelantan untuk mencuri mata," katanya.

Sulaiman berkata, menjadi impiannya untuk membawa skuad bimbingannya kali ini layak ke saingan Piala Malaysia selepas musim lalu, sasaran yang ditetapkan itu tidak kesampaian.

"Saya berharap format perlawanan satu pusingan ini akan membawa tuah kepada UKM dalam misi mendapatkan slot ke saingan Piala Malaysia musim ini," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 7:17pm
d