arena

Andrea tarik diri dari Terbuka AS

Oleh AFP

BEKAS pemain kelompok 10 teratas, Andrea Petkovic dari Jerman menjadi pemain terbaharu yang menarik diri dari kejohanan tenis Terbuka AS (Amerika Syarikat) umum penganjur acara itu.

Kenyataan ringkas daripada Persatuan Tenis AS memberitahu penarikan diri pemain ranking ke-89 Andrea yang memenangi enam kejuaraan WTA dan bekas finalis separuh akhir Terbuka Perancis akan membolehkan pemain Ukraine, Marta Kostyuk mara ke undian utama.

Kejohanan Grand Slam itu dijadualkan bermula pada 31 Ogos di Pusat Tenis National, Flushing Meadows dekat New York.

Ia sebelum ini dicemari dengan penarikan diribeberapa pemain berstatus bintang kerana kebimbangan penularan Covid-19.

Juara bertahan, Rafael Nadal, pemain di ranking utama wanita Ashleigh Barty dan pemain nombor dua dunia, Simona Halep antara yang berada dalam senarai pemain bintang mengecualikan penyertaan mereka dalam acara itu kerana pandemik.

Tidak dapat dipastikan sama ada situasi berkenaan turut mempengaruhi keputusan Andrea untuk menarik diri.

Pemain berusia 32 tahun sebelum ini turut terpaksa menarik diri ketika saingan Terbuka Australia pada Januari lalu kerana mengalami kecederaan lutut dan memerlukan pembedahan pada Februari.

Dia memulakan latihan pada Mei dan beraksi pada perlawanan pertunjukan di Berlin pada Julai lalu.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 11:24am
d