arena

PSG mampu lakar sejarah

Oleh AFP

JIKA Paris Saint-Germain menewaskan Bayern Munich pada aksi final Liga Juara-Juara awal pagi Isnin ini di Lisbon, gambarannya mungkin tangisan kegembiraan Neymar atau sambutan hangat di ibu kota Perancis.

Penampilan pertama di pentas final kejohanan kelab elit Eropah itu hadir ketika Emir Qatar menyambut hari kelahiran ke-50, namun titik permulaan berlaku pada 30 Jun 2011.

Ia ketika Qatar Sports Investments (QSI) membeli PSG, dengan presidennya, Nasser al-Khelaifi berjanji akan menjadikan pasukan itu lebih hebat dan jenama kuat di pentas antarabangsa.

Tidak diragui QSI sudah mencapainya, walaupun pengkritik Qatar mempersoalkan motivasi negara kecil yang kaya dengan minyak itu.

PSG memenangi gelaran Perancis ketujuh mereka baru-baru ini dalam lapan musim dan gelaran trebel keempat mereka dalam enam musim.

Kini selepas enam musim tidak menentu di pentas benua, mereka mara ke pentas tertinggi saingan kejohanan antara kelab berprestij itu.

"Sejak kami tiba di sini, Liga Juara-Juara adalah impian kami, dan kini kami semakin hampir memenuhi impian itu," kata Khelaifi selepas pasukan itu menewaskan RB Leipzig pada separuh akhir.

PSG adalah kelab besar sebelum QSI - di bawah pemilikan gergasi televisyen berbayar Perancis, Canal Plus pada 1990an, mereka memiliki bintang seperti George Weah dan menang liga pada 1994 serta mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara setahun kemudian.

Mereka menjulang trofi tunggal peringkat Eropah menerusi Piala Juara-Juara pada 1996.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 12:41pm
d