arena

Shahrul Nazeem yakin kemampuan Maloney

Oleh Firdaus Hashim

KETUA pasukan Selangor II, Shahrul Nazeem Zulpakar mengakui skuad bawah 19 (B-19) tahun negara kendalian Brad Maloney memiliki ramuan tersendiri untuk menyerlah di pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan Oktober ini.

Shahrul yang juga salah seorang bekas pelatih skuad B-19 ketika di bawah bimbingan Bojan Hodak dua tahun lalu mengakui perbezaan corak taktikal dan strategi yang digunakan Maloney dilihat lebih baik daripada skuad terdahulu.

Katanya, pasukan muda negara mempunyai peluang melakukan kejutan walaupun bakal dicabar tiga pesaing terkuat dalam Kumpulan D iaitu Qatar, Tajikistan dan Yaman.

"Dari segi fomasi berbeza, sebelum ini saya dengan jurulatih Bojan Hodak guna formasi 4-4-2 tapi jurulatih Maloney main 3-4-3, jadi situ nampak perbezaan.

"Malah pasukan ini juga mengamalkan 'pressing' dan rasanya yang ini lebih baik.

"Kami dulu pun ada 'pressing' cuma tak sebagus yang sekarang. Kalau mereka ikut taktikal jurulatih dengan baik saya rasa pasukan ini boleh pergi jauh," katanya selepas aksi persahabatan antara skuad B-19 dengan Selangor II di Shah Alam, Rabu lalu.

Dalam aksi itu, pasukan muda negara tumbang 4-0 menerusi jaringan disumbangkan oleh T Saravanan yang mencetak dua gol, sementara Armin Maier dan Nazrin Mohamad Nasir melengkapkan kemenangan berjaya Red Giants.

Pada edisi sama dua tahun lalu yang berlangsung di Indonesia, skuad B-19 kendalian Hodak gagal melepasi peringkat kumpulan apabila menghuni tangga tercorot dengan sekadar meraih satu mata.

Pada kempen itu, Malaysia tewas 2-1 kepada Arab Saudi sebelum bangkit mengikat Tajikistan 2-2 dalam aksi kedua.

Bagaimanapun, China meranapkan impian pasukan apabila menundukkan skuad negara 2-0.

Dalam kempen kali ini, skuad negara mensasarkan mara ke separuh akhir untuk menempah tiket automatik ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 11:42pm
d