arena

Chong Wei naik 'angau'

Oleh Aida Adilah Mat

SELEPAS 16 bulan bersara, Datuk Lee Chong Wei meluahkan rasa betapa dia rindu dengan badminton.

Banyak kenangan yang pasti tidak akan dilupai beliau dan antaranya 'peneman' yang menemaninya iaitu kasut yang dipakai ketika dia berjaya meraih koleksi pingat perak pertama di temasya Olimpik Beijing, 2008.

Kasut itu kini diabadikan cantik dalam rak kaca diletakkan di rumahnya.

Kata Chong Wei, melihat kasut itu rasa seperti baru semalam semuanya berlaku.

"Pagi tadi kemas rumah sama keluarga. Termenung lama tengok kasut dalam peti cermin ini. Dia lah yang teman saya berjuang final Olimpik 2008 di Beijing.

"Pingat Olimpik pertama yang saya raih. Rasa macam baru tahun lepas. Rindu," luah legenda badminton negara itu dalam hantaran laman sosial Facebook.

Chong Wei menggalas harapan negara untuk membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik.

Namun ketika itu Lin Dan menjadi penghalang apabila dia tewas 12-21, 8-21.

Chong Wei tidak pernah putus asa.

Beliau sentiasa mencuba selepas Beijing, di hadir ke London (2012) dan Rio (2016) dengan kejayaan meraih perak sebanyak tiga kali berturut-turut.

Namun pada pertengahan tahun 2018, Chong Wei menghilangkan diri dan akhirnya beliau dikhabarkan mengalami kanser hidung.

Beliau memang cukup dikenali dengan semangat sebagai pejuang dan dengan semangat itu beliau berlawan dan kini bebas daripada kanser.

Disiarkan pada: August 23, 2020 @ 7:22pm
d