arena

Da Sylva meletup

Oleh Syazwan Msar

TEMPOH empat bulan berehat daripada kancah bola sepak menyebabkan pemain lemau atau kurang menyengat namun lain pula kepada ayam tambatan baharu skuad Terengganu FC (TFC) Dominique Da Sylva apabila meledak dua gol untuk membantu pasukan menundukkan PJ City 2-0 malam kelmarin.

Dua gol berkenaan yang dijaringkan di tempat lawan sekali gus memberi amaran kepada pasukan lain bahawa TFC mempunyai senjata rahsia untuk memastikan mereka mengakhiri kempen saingan Liga Super di kelompok teratas.

Prestasi Dominique yang sudah meledak enam gol setakat ini menggembirakan Pengendali Terengganu TFC Nafuzi Zain yang melihat beliau kini mempunyai banyak pilihan untuk menggalas cabaran sebagai penyerang utama pasukan.

Nafuzi berkata, kemampuan dan kebolehan yang dimiliki penyerang yang berasal dari Mauritania itu mempunyai kualiti yang sendiri dan mampu menghasilkan gol untuk pasukan.

"Kita sudah bersedia untuk perlawanan pada malam ini (kelmarin) kerana sedia maklum PJ City adalah pasukan yang cukup sukar untuk ditundukkan terutama ketika beraksi di gelanggang mereka.

"Saya tahu dia boleh menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama namun Da Sylva tetap perlu bekerja keras bersaing dengan pemain lain," katanya, di sini.

Pada perlawanan malam kelmarin, TFC menyambung kempen Liga Super dengan langkah kanan selepas menundukkan Petaling Jaya City (PJ City) 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Da Sylva menjadi duri dalam daging buat PJ City yang gagal mengekang gerakannya sepanjang 90 minit aksi itu.

Pemain itu, meledak kedua-dua gol di setiap babak sekali gus mengecewakan kem tuan rumah yang turut mengidamkan tiga mata penuh selepas Liga Malaysia (Liga-M) bersambung semula yang ditangguhkan pada Mac lalu ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu, Da Sylva mengakui tempoh empat bulan tidak bermain bola sepak menyebabkan agak sukar untuk mencapai tahap yang diinginkan.

"Namun, saya gembira dapat membantu pasukan membawa pulang tiga mata penting dan berjaya membalas kepercayaan jurulatih dengan jaringan dua gol," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 12:02am
d