arena

Jiran gesa Pacquiao kuarantin diri

Oleh Agensi

LEGENDA tinju, Manny Pacquiao didesak oleh jiran supaya mengkuarantikan diri di kediamannya selepas berparti dengan mangsa koronavirus.

Koko Pimentel, senator Filipina dan pemimpin parti pemerintah didapati berada di mahligai petinju berusia 41 tahun itu di Makati, Manila.

Parti itu berlangsung beberapa minggu lalu dan Pimentel mula bergejala 10 hari kemudian dengan ujian kesihatan mendapati dia positif Covid-19.

Dengan tempoh pengasingan diri ditetapkan kerajaan selama 14 hari, penduduk setempat bimbang jika Pacquiao menjangkiti orang lain jika tidak berbuat demikian.

Surat kemudiannya dihantar kepada juara dunia lapan divisyen itu yang kini juga seorang senator di Filipina dengan mengarahkan dia sekeluarga mengkuarantinkan diri.

Mahligai Pacquiao yang terletak di pinggir Manila dibeli dengan harga £7 juta (RM38 juta) pada 2012 dan mempunyai gelanggang tenis, kolam mandi dan ruang makan yang luas. Ia turut dihuni isterinya, Jinkee dan lima anak mereka.

Surat jiran Pacquiao tertera: ''Ramai rakan sejawatan anda di Senat dijangkiti Covid-19. Oleh itu, anda dikehendaki mengkuarantinkan diri di rumah anda.

''Demi keselamatan anda dan keluarga, kekal di rumah. Tiada siapa dibenarkan keluar. Jika anda perlukan sesuatu, hubungi barangay... Kami boleh membantu dan menghantarnya ke pintu rumah.''

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 1:31pm
    d