arena

PABM tiada hak larang atlet sertai Sukma

Oleh Aida Adilah Mat

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak mempunyai hak untuk menghalang dua atlet angkat berat Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dan Muhammad Azfar Kamaruddin daripada menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

Ini kerana keputusan sama ada seseorang itu dibenarkan bertanding atau sebaliknya menjadi kuasa mutlak jawatankuasa tertinggi Sukma dan jawatankuasa teknikal yang akan bermesyuarat apabila wujudnya sebarang konflik membabitkan penyertaan atlet di temasya itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, masih ada beberapa proses perlu dilalui sebelum keputusan untuk tidak membenarkan seseorang atlet itu menyertai Sukma dilakukan.

Bagaimanapun, semua itu hanya akan berlaku sekiranya Majlis Sukan Negeri Terengganu mengemukakan rayuan rasmi kepada jawatankuasa teknikal Sukma yang akan dipengerusikan sendiri oleh Shapawi bersama delegasi bagi setiap sukan dan juga Pengarah Majlis Sukan Negeri yang lain.

''Peluang mereka masih belum tertutup kerana masih ada jawatankuasa teknikal yang akan bincang perkara konflik seperti ini. Apa yang diputuskan oleh PABM selepas mereka mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Angkat Berat Terengganu itu adalah satu proses yang perlu dilakukan oleh PABM.

''Tapi Terengganu boleh merayu kepada jawatankuasa tertinggi Sukma yang akan mengadakan mesyuarat dan keputusan akan dibuat oleh jawatankuasa yang lebih tinggi daripada PABM,'' katanya.

Pada pentas Sukma ke-19 di Perak September 2018, Nurul Afiqah yang beraksi dalam kategori 48kg berjaya mengutip satu pingat emas dalam acara 'clean and jerk' dengan angkatan 81kg manakala satu gangsa dalam acara 'snatch' dengan angkatan 62kg.

Bagaimanapun emas dan gangsa yang diraih atlet itu tidak kekal lama apabila ditarik balik pihak penganjur kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang jenis 'methylexanamine' sebelum digantung selama lapan bulan oleh PABM.

Begitu juga Muhammad Azfar yang ditarik balik semula perak dan gangsa berikutan terbabit dengan mengambil bahan terlarang itu.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 2:02pm
d