arena

Pahang siap sedia sekat JDT

Oleh Asrol Awang

PEMAIN pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli percaya skuad itu mampu berdepan cabaran apabila bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.

Mohd Faisal atau Tocang berkata, prestasi semasa Harimau Selatan itu tidak mengganggu misi skuad Tok Gajah untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri.

"Ketika ini segala-galanya mengikut perancangan jurulatih (Dollah Salleh) dan diharapkan kami dapat beraksi pada prestasi yang terbaik sebaik Liga Super bersambung.

"Fokus utama ialah mempertingkatkan persefahaman dan tahap kecergasan juga diberikan penekanan untuk memastikan kemenangan memihak kepada Pahang.

"Kami akan mempamerkan persembahan meyakinkan kerana lawan sudah pasti mahu meraih tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super," katanya.

Ditanya keterujaan selepas lima bulan tidak beraksi susulan penularan wabak COVID-19, Mohd Faisal tidak sabar untuk membantu skuad itu beroleh kemenangan.

Katanya, tempoh rehat panjang yang dirasai pemain sudah pasti membuatkan semua mahu memberikan yang terbaik.

"Oleh itu, saya harap kami dapat mengutip tiga mata dan sedia mengekang asakan JDT yang diterajui penyerang sensasi mereka, Safawi Rasid.

"Pada masa sama, jentera serangan Pahang diharap lebih padu untuk membolosi gawang Harimau Selatan," katanya.

Pada empat perlawanan, Pahang berada di kedudukan keempat dengan mengutip enam mata selepas merekodkan dua kemenangan dan dua kekalahan.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 9:21pm
d