arena

Negeri Sembilan enggan berputih mata

Oleh Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan enggan berputih mata sebaliknya mahu mendapatkan kembali status pencabar terkuat Liga Perdana, bermula dengan aksi menentang Terengganu FC II (TFC II), di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.

Pemain pertahanan, Mohamad Shahrom Kalam berkata, prestasi pada perlawanan menentang TFC II itu nanti, bukan sahaja penting untuk pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta, sebaliknya sebagai kayu pengukur pada baki aksi saingan musim ini.

"Selepas kami bermula dengan keputusan kurang baik, inilah masa untuk Negeri Sembilan bangun balik mencipta kemenangan.

"Justeru itu, saya menyifatkan keputusan perlawanan menentang TFC II, Jumaat ini, akan menjadi kayu pengukur buat pasukan untuk melihat sejauh mana kesediaan kami menamatkan saingan musim ini dengan rekod yang baik.

"Oleh itu, kami perlu buktikan keupayaan sebenar, walaupun berdepan dengan pasukan yang baik seperti TFC II, tetapi mampu mencipta kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Bekas tonggak kebangsaan berusia 34 tahun itu berkata, pemain skuad Hobin Jang Hobin yang bakal diberikan amanah Jumaat nanti, tidak mempunyai pilihan lain kecuali mata kemenangan milik mereka.

Menurutnya, semua pemain perlu percaya kepada perancangan ketua jurulatih, Sazali Saidun, dalam usaha beliau merangka strategi terbaik bagi memerangkap pasukan lawan, yang tampil selaku peneraju carta Liga Perdana ketika ini.

"Perancangan jurulatih tidak akan tercapai andai setiap pemain gagal melaksanakan tugas dan amanah diberi dengan baik.

"Oleh itu semua pemain perlu bekerja keras dan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mendapatkan kemenangan.

"Baki tujuh perlawanan dengan empat daripadanya di laman sendiri, perlu digunakan sepenuhnya bagi mendapatkan mata maksimum," katanya.

Shahrom mengingatkan rakan-rakannya supaya lebih berhati-hati dengan strategi pihak lawan yang ingin mengikut jejak 'abang' mereka Terengganu FC, yang berjaya membenam PJ City FC, 2-0, dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

"Kita (pemain Negeri Sembilan) harus sedar TFC II memiliki reputasi tersendiri, namun kita harus bersikap positif dan adalah baik buat kita apabila dapat bertemu dengan pasukan terbaik pada perlawanan pertama selepas rehat panjang.

"Apapun, setiap pemain kena berjiwa besar dan perlu bersedia dengan persembahan terbaik bagi menyekat keinginan TFC II, yang sudah pasti ingin mencuri mata," kata pemain berpengalaman itu.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 8:36pm
d