arena

Jerman rehat bintang Bayern

Oleh AFP

JURULATIH Jerman, Joachim Loew meninggalkan pemain Bayern Munich yang menjuarai Liga Juara-Juara dari skuad kebangsaan yang diumumkannya hari ini bagi perlawanan Liga Negara berdepan Sepanyol dan Switzerland.

Kapten Manuel Neuer, Joshua Kimmich, Serge Gnabry dan Leon Goretzka bagi dua perlawanan berkenaan bulan depan untuk memastikan mereka menempuhi tempoh pemulihan yang cukup.

Namun pertahanan tengah Bayern, Niklas Suele serta Leroy Sane yang berjaya melengkapkan perpindahan dari Manchester City pula berada dalam senarai.

"Keutamaan saya adalah kejohanan Euro tahun depan kerana saya tahu sebanyak mana tenaga diperlukan nanti, disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan pemain dari Bayern atau Leipzig," kata Loew.

Jerman akan melayan kunjungan Sepanyol di Stuttgart pada 3 September ini sebelum berkunjung ke Basel empat hari kemudian untuk menentang Switzerland.

Pertahanan RB Leipzig, Marcel Halstenberg dan Lukas Klostermann turut tidak disenaraikan selepas mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara di Lisbon.

Thilo Kehrer yang berada dalam kesebelasan utama Paris Saint-Germain pada aksi final Isnin lalu, ketika Julian Draxler diletak dalam senarai pemain simpanan untuk kelab Perancis itu turut disenaraikan.

"Draxler dan Kehrer menjadi sebahagian daripada pasukan kerana mereka sudah berehat panjang apabila liga bola sepak Perancis ditamatkan lebih awal dan perlu mencari semula rentak permainan," kata Loew.

Ditanya mengenai kemungkinan penyenaraian semula Jerome Boateng dan Thomas Mueller yang kedua-duanya digugurkan selepas aksi buruk di Piala Dunia 2018, Loew tidak menolak sebarang kemungkinan menyenaraikan pemain terbabit.

Senarai Pemain :

Penjaga gol : Bernd Leno (Arsenal), Kevin Trapp (Eintracht Frankfurt), Oliver Baumann (Hoffenheim)

Pertahanan : Matthias Ginter (Borussia Moenchengladbach), Robin Gosens (Atalanta), Thilo Kehrer (PSG), Robin Koch (Freiburg), Antonio Rudiger (Chelsea), Nico Schulz (Borussia Dortmund), Niklas Suele (Bayern Munich), Jonathan Tah (Bayer Leverkusen)

Tengah : Julian Brandt (Borussia Dortmund), Emre Can (Borussia Dortmund), Julian Draxler (PSG), Ilkay Gundogan (Man City), Kai Havertz (Bayer Leverkusen), Toni Kroos (Real Madrid), Florian Neuhaus (Borussia Moenchengladbach), Suat Serdar (Schalke)

Penyerang : Luca Waldschmidt (Benfica), Timo Werner (Chelsea), Leroy Sane (Bayern Munich)

Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 9:35am
d