arena

Tragedi Hubert 'hantui' Leclerc di GP Belgium

Oleh AFP

CHARLES Leclerc kembali ke litar yang menyaksikan kemenangan pertamanya dalam Formula Satu dengan hati berat menjelang Grand Prix Belgium hujung minggu ini.

Kejayaan pelumba Monegasque itu di litar Spa-Francorchamps tahun lalu hanya sehari selepas rakan senegara, Anthoine Hubert terbunuh dalam Formula Dua di litar sama.

"Memang sukar kembali ke trek ini dan saya tahu dia akan kekal dalam ingatan kami pada Ahad ini,'' kata Leclerc.

Perlumbaan pada Ahad ini berlangsung sehari sebelum tarikh kematian Hubert pada usia 22 tahun.

Kematian pelumba muda Perancis itu meninggalkan impak besar kepada paddock F1.

"Ia hari gelap kepada keseluruhan komuniti permotoran dan doa kami buat keluarga dan rakannya ketika kami mengingatinya hujung minggu ini,'' kata pengurus pasukan Mercedes, Toto Wolff.

Leclerc turut berdepan minggu yang sukar apabila pasukannya, Ferrari bergelut dalam enam pusingan pertama F1 musim ini yang jumlahnya dikurangkan akibat kesan koronavirus.

"Ia menyukarkan kami kali ini selepas tidak mendapat prestasi kompetitif seperti tahun lalu,'' katanya.

Malah, pendahulu kejohanan, Lewis Hamilton dan pasukannya, Mercedes tetap bimbang dengan kemampuan mengekalkan momentum di Belgian Ardennes.

Mercedes tidak menang di Belgium sejak 2017 apabila Hamilton yang telah berlumba dalam 13 Grand Prix di litar itu hanya mampu menang tiga kali.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 10:38am
d